KENAPA SELALU GAGAL DALAM BERDIET?
Pelbagai faktor dipersalahkan apabila seseorang gagal nak berdiet. Apa yang pasti, program diet perlu akan kepatuhan kepada disiplin yang kuat dan motivasi dalaman dalam diri seseorang untuk menjadi sihat dan berpenampilan menarik untuk berjaya.
Di bawah antara faktor seseorang GAGAL BERDIET :-
- Sikap suka bertangguh (procrastination) untuk memulakan sesuatu program diet
- Tiada orang untuk menyokong atau memberi semangat
- Persekitaran yang tidak mementingkan peraturan makanan atau mudah mencapai makanan
- Cara salah dalam berdiet, contoh berdiet dengan cara berlapar tanpa mengambil zat-zat secukupnya
- Motivasi dalaman diri sendiri yang tidak cukup kuat
- Mengabaikan sarapan atau bersarapan tinggi karbohidrat
- Suka mengambil makanan rapu ('junk food') dan ketagihan makanan segera ('fast food') yang tinggi kalori seperti KFC, McDonald, Pizza Hut, Burger King dan sebagainya
- Matlamat yang hampir mustahil, lalu putus asa sebelum mencapainya, contoh ingin turun berat dengan drastik & cepat seperti 10kg dalam masa seminggu
- Terlupa sedang berdiet apabila mengambil makanan ringan seperti aiskrim, coklat, gula-gula, kek walaupun sedikit demi sedikit
- Kita cuba mengelak kalori dari makanan, tapi abaikan kalori dari minuman
- Tidak minum air kosong yang mencukupi. Tambahkan jumlah biasa ketika berdiet kerana ia mengaktifkan metabolisma
- Menimbang tubuh dengan kerap hampir setiap hari, menimbulkan kekecewaan apabila penurunan tidak nampak berlaku secara harian, jadi matlamat gagal tercapai
- Langsung tidak bersenam, bersukan, berolahraga atau melakukan aktiviti mengeluarkan peluh
TAHUKAH ANDA?
- Dengan mengambil terlalu rendah kalori dalam sehari, anda mungkin turun berat dengan banyak pada awalnya, tapi anda melatih metabolisma menjadi menurun, apabila anda berhenti berdiet, tubuh membakar kalori dengan lambat, jadi berat anda dengan mudah akan bertambah dengan banyak apabila tidak menjaga makan, ia dipanggil Yo-Yo Effect.
- Mengabai atau melewatkan sarapan menyebabkan anda berasa sangat lapar di masa siang dan tenaga anda akan menurun. Untuk menghilangkan kelaparan, anda mengambil karbohidrat ringkas (roti putih, gula-gula dsb) supaya berlaku peningkatan kadar gula dengan cepat untuk mengatasi rasa lapar ini. Ia akan menyebabkan kenaikan kadar gula dalam darah secara mendadak yang menyebabkan badan melepaskan jumlah insulin yang banyak. Insulin akan mengambil & mengubah gula berlebihan dalam darah menjadi lemak. Hasilnya adalah penurunan kadar gula dalam darah dan keinginan untuk makan lebih banyak karbohidrat. Kitaran ini berulang-ulang 2-3 kali sehari. Kitaran ini menyebabkan pankreas bekerja lebih keras dan lama-kelamaan ia menjadi lemah. Ini adalah salah satu penyebab utama terjadinya tekanan darah tinggi, kencing manis dan kenaikan berat badan.
- Anda perlu selang-selikan makan sarapan, makan tengahari dan malam dengan snek yang berasaskan protein dan serat untuk sentiasa kenyang. Ambil makan sedikit-sedikit tapi kerap, kurangkan (jangan tinggalkan terus!) karbohidrat dan lemak.
- Minuman juga berkalori. Kita kerap memfokuskan untuk tidak mengambil kalori dalam makanan tapi minum minuman berkalori tinggi seperti soda, mocha, cappucino, jus buah juga mampu menyumbang kepada kalori harian. Apa yang lebih parah ialah kalori minuman tidak membantu menghilangkan kelaparan. Jadi anda tetap mengambil makanan tanpa rasa bersalah kerana tidak menyedari minuman anda juga berkalori.
- Senaman perlu untuk mengaktifkan metabolisma tubuh secara semulajadi selain membuang sisa toksin dari badan sebagai proses semulajadi dalam berdiet.